Sunday, September 25, 2011

KERJAYA PELANCONGAN KIAN BERKEMBANG


Industri pelancongan Malaysia sedang berkembang pada kadar yang amat pesat sekali. Peningkatan ketibaan pelancong antarabangsa di Malaysia adalah hasil usaha promosi dan penggalakan pelancongan yang strategik lagi sistematik yang bertujuan untuk memasarkan Malaysia kepada masyarakat antarabangsa. Promosi Tahun Melawat Malaysia telah menampakkan pulangan yang memberangsangkan. Pertambahan jumlah pelancong yang melawat Malaysia saban tahun memberi beberapa implikasi yang penting terhadap sumber daya tenaga manusia yang diperlukan untuk menyokong industri ini, terutamanya sumber manusia dalam sektor perkhidmatan. 


Pemandu pelancong merupakan salah satu sektor yang penting dalam industri pelancongan, yang berhubung secara terus dengan para pelancong. Pemandu pelancong memainkan peranan yang amat besar dalam memberikan gambaran yang jelas, tepat dan menarik mengenai negara Malaysia kepada pelancong. Pemandu pelancong yang berketrampilan mampu meninggalkan kesan positif yang berkekalan kepada para pelancong untuk menarik minat mereka kembali mengunjungi Malaysia.

Penyertaan Bumiputera dalam aktiviti pemandu pelancong amatlah bertepatan sekali untuk menyokong perkembangan pesat industri pelancongan. Walau bagaimana pun, statistik terkini menunjukkan bahawa kadar penyertaan Bumiputera dalam pemandu pelancong masih di tahap yang belum boleh dibanggakan.


Bilangan Bumiputera yang aktif sebagai pemandu pelancong masih jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan kaum-kaum lain di Malaysia. Begitu juga, bilangan agensi pelancongan Bumiputera yang beroperasi di Malaysia masih lagi kecil berbanding dengan golongan bukan Bumiputera. Tahap kemahiran bahasa antarabangsa selain daripada Bahasa Inggeris dalam kalangan Bumiputera juga perlu dibaikki lagi.


Adalah jelas bahawa Bumiputera perlu mempergiatkan usaha dan menyiapkan diri untuk menceburi bidang kerjaya yang mencabar ini, yang mungkin merupakan kerjaya yang agak asing bagi masyarakat Bumiputera sebelum ini. Minat menjadi pemandu pelancong perlu dipupuk sejak dari awal lagi dan penerangan kerjaya perlu diadakan di sekolah-sekolah untuk mempromosi bidang pemandu pelancong kepada para pelajar. 

Insentif dan galakan tertentu juga perlu untuk menarik minat para belia untuk menjadi pemandu pelancong. Kerjaya sebagai pemandu pelancong perlu dilihat dari skop yang lebih luas iaitu bukan semata-mata sebagai seorang pegawai penerangan tetapi sebagai seorang pegawai pemasaran yang cuba mempromosikan produk-produk pelancongan yang kompetitif. Kemampuan seorang pemandu pelancong mempamir, menerang dan menyakinkan para pelancong mengenai kualiti dan keunggulan produk pelancongan di Malaysia adalah satu kejayaan peribadi dan kejayaan negara pada keseluruhannya. 

Bumiputera sebagai satu kumpulan etnik yang signifikan di Malaysia sewajarnya turut serta menjayakan aspirasi negara memperkenalkan Malaysia kepada komuniti antarabangsa dengan menceburi bidang pemandu pelancong.

Saturday, September 17, 2011

PEMILIHAN KERJAYA


Pemilihan kerjaya merupakan sesuatu yang kompleks dalam kehidupan terutamanya kepada mereka yang masih lagi tercari-cari apa yang mereka kehendaki di dalam kehidupan dan kerjaya. Berikut adalah beberapa tips bagi memudahkan ataupun bagi menjadi penduan kepada individu dalam membuat pemilihan kerjaya.

  • Kerjaya harus dipilih berdasarkan apa yang diminati atau disukai.
  • Kerjaya yang dipilih haruslah berdasarkan pengetahuan dan kemahiran yang dimiliki.
  • Kerjaya tidak harus datang secara paksaan contohnya dari ibu bapa atau keluarga.
  • Kerjaya bukanlah untuk dicuba-cuba (trial & error) akibat buruk padahnya.
  • Seseorang perlu yakin dengan kerjaya yang diceburinya. Kejayaan bukan datang dalam sekelip mata. Ia akan memakan masa. Oleh itu ketekunan dan istiqamah serta doa amat penting dalam menjamin kerjaya masa depan. 
  • Kerjaya yang dipilih haruslah tidak bersandarkan kepada faktor kewangan semata-mata. faktor lain yang lebih penting harus diambil kira.
  • Sebelum memilih sesuatu kerjaya dapatkan informasi sebanyak mungkin terlebih dahulu.
  • Jumpa orang yang lebih berpengalaman dan bertanya soalan-soalan yang relevan kepada mereka. Dengan kata lain dapatkan nasihat daripada mereka yang pakar.
  • Dapatkan restu dari kedu-dua ibu bapa. Restu mereka amat penting dalam menjamin kejayaan anda.
  • Lakukanlan Solat Istiharah dan berserah pada Allah s.w.t. Hanya Dia sahaja yang maha mengetahui dan penentu segalanya.

Semoga kerjaya yang dipilih mendapat keberkatan dan keredhaan dari Allah s.w.t.

Sunday, September 11, 2011

KERJAYA BIDANG IT LUMAYAN


Berdasarkan kajian Trend Pasaran Pekerjaan dalam bidang Teknologi Maklumat (IT) di Asia 2007/2008 yang dijalankan ZDNet,peluang bagi professional dalam bidang itu di Negara ini masih banyak selain menawarkan kenaikan gaji sehingga 20 peratus tahun ini. Namun, bagi pelajar bukan semua pekerjaan yang ditawarkan dalam bidang itu setaraf dengan kemahiran mereka memandangkan ia dianggap kritikal serta memerlukan kelayakan yang tinggi.

Contohnya kerjaya pengaturcaraan komputer yang sering ‘digeruni ‘ pelajar kerana dianggap sukar berbanding bidang lain. Situasi itu menyebabkan kurangnya tenaga mahir dalam bidang pengaturcaraan komputer terutama golongan Bumiputera apabila Negara terpaksa mengimport pakar dari luar.

Tanggapan di kalangan lepasan pelajar seperti ini perlu diubah kerana kita memerlukan mereka untuk menerokai bidang IT yang semakin maju ini. Sebagai pengaturcara komputer, tugas mereka adalah membangunkan arahan serta bahasa komputer yang digunakan untuk mengendalikan komputer.

Skop tugas turut merangkumi penyelesaian masalah komputer berkaitan teknikal bagi kedua-dua elemen pada sistem berkenaan. Seorang pengaturcara mengambil rekaan jurutera perisian dan menukarkan kepada arahan komputer yang seterusnya membentuk sebuah program.
Prose situ membabitkan penggunaan kod bahasa teknikal yang berbeza merujuk kepada penggunaan sesuatu program. Menurut Pengetua Institut Generasi Adam Govindasamy, pelajar yang memilih bidang it perlu menyahut cabaran serta menerokai bidang pengaturcara yang menjadi cabang kerjaya menarik.

Memang kita lihat tidak ramai lepasan pelajar Bumiputera yang memilih kursus ini kerana tanggapan itu sudah ada dalam fikiran mereka dan pilihannya ialah mengikuti kursus lebih mudah. “Selain itu, mereka tidak nampak peluang dan prospek yang ada dalam bidang ini. Bagi saya, kerjaya dalam bidang IT sememangnya luas tetapi kemahiran dan kualiti yang ada pada graduan tidak mencapai tahap ditetapkan pasaran kerja sekarang.” katanya.

Mengenai majikan pula, mereka kebiasaannya mencari pengaturcara yang mempunyai pengalaman khusus dalam bidang berkenaan. Walaupun ijazah adalah sangat membantu, namun majikan lebih gemar memilih mereka yang mempunyai pengalaman praktikal atau kelayakan vokasional bagi memenuhi keperluan Sumber Manusia dalam bidang pengaturcaraan.