Sunday, September 25, 2011

KERJAYA PELANCONGAN KIAN BERKEMBANG


Industri pelancongan Malaysia sedang berkembang pada kadar yang amat pesat sekali. Peningkatan ketibaan pelancong antarabangsa di Malaysia adalah hasil usaha promosi dan penggalakan pelancongan yang strategik lagi sistematik yang bertujuan untuk memasarkan Malaysia kepada masyarakat antarabangsa. Promosi Tahun Melawat Malaysia telah menampakkan pulangan yang memberangsangkan. Pertambahan jumlah pelancong yang melawat Malaysia saban tahun memberi beberapa implikasi yang penting terhadap sumber daya tenaga manusia yang diperlukan untuk menyokong industri ini, terutamanya sumber manusia dalam sektor perkhidmatan. 


Pemandu pelancong merupakan salah satu sektor yang penting dalam industri pelancongan, yang berhubung secara terus dengan para pelancong. Pemandu pelancong memainkan peranan yang amat besar dalam memberikan gambaran yang jelas, tepat dan menarik mengenai negara Malaysia kepada pelancong. Pemandu pelancong yang berketrampilan mampu meninggalkan kesan positif yang berkekalan kepada para pelancong untuk menarik minat mereka kembali mengunjungi Malaysia.

Penyertaan Bumiputera dalam aktiviti pemandu pelancong amatlah bertepatan sekali untuk menyokong perkembangan pesat industri pelancongan. Walau bagaimana pun, statistik terkini menunjukkan bahawa kadar penyertaan Bumiputera dalam pemandu pelancong masih di tahap yang belum boleh dibanggakan.


Bilangan Bumiputera yang aktif sebagai pemandu pelancong masih jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan kaum-kaum lain di Malaysia. Begitu juga, bilangan agensi pelancongan Bumiputera yang beroperasi di Malaysia masih lagi kecil berbanding dengan golongan bukan Bumiputera. Tahap kemahiran bahasa antarabangsa selain daripada Bahasa Inggeris dalam kalangan Bumiputera juga perlu dibaikki lagi.


Adalah jelas bahawa Bumiputera perlu mempergiatkan usaha dan menyiapkan diri untuk menceburi bidang kerjaya yang mencabar ini, yang mungkin merupakan kerjaya yang agak asing bagi masyarakat Bumiputera sebelum ini. Minat menjadi pemandu pelancong perlu dipupuk sejak dari awal lagi dan penerangan kerjaya perlu diadakan di sekolah-sekolah untuk mempromosi bidang pemandu pelancong kepada para pelajar. 

Insentif dan galakan tertentu juga perlu untuk menarik minat para belia untuk menjadi pemandu pelancong. Kerjaya sebagai pemandu pelancong perlu dilihat dari skop yang lebih luas iaitu bukan semata-mata sebagai seorang pegawai penerangan tetapi sebagai seorang pegawai pemasaran yang cuba mempromosikan produk-produk pelancongan yang kompetitif. Kemampuan seorang pemandu pelancong mempamir, menerang dan menyakinkan para pelancong mengenai kualiti dan keunggulan produk pelancongan di Malaysia adalah satu kejayaan peribadi dan kejayaan negara pada keseluruhannya. 

Bumiputera sebagai satu kumpulan etnik yang signifikan di Malaysia sewajarnya turut serta menjayakan aspirasi negara memperkenalkan Malaysia kepada komuniti antarabangsa dengan menceburi bidang pemandu pelancong.

No comments:

Post a Comment